Wednesday 20 July 2016

Story of inspiring man whom keep working without a second thought about low salary for first graduate.

Story of inspiring man whom keep working without a second thought about low salary for first graduate.

Minggu lepas saya berkesempatan mengadakan temuduga beberapa orang calon untuk mengisi kekosongan sebagai jurutera muda untuk PDE Partnership Sdn Bhd. Tahun ini saja rasanya dah lebih 15 orang saya temuduga. Tahun-tahun sebelum ini pun ada juga beberapa sesi temuduga yang saya lalui.
Kebanyakkan calon-calon yang saya temuduga adalah dari kalangan 'fresh graduates' atau pun yang mempunyai pengalaman kurang daripada 2 tahun. Secara teknikalnya, mereka ini tidaklah layak dikategorikan sebagai jurutera terlatih yang boleh melaksanakan tugasan apabila mula bekerja nanti. Mungkin tidak di syarikat saya.
Sebagai seorang yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam bidang perunding kejuruteraan, saya dapat lihat dan rasakan bahawa rata-rata calon menghadiri temuduga kerana mereka inginkan wang untuk meneruskan kehidupan. Liabiliti utama mereka adalah pinjaman PTPTN. Anggaran ansuran sebanyak RM200 sebulan. Lain-lain mungkin keinginan mempunyai kenderaan sendiri atau simpanan untuk berkeluarga.
Tidak dinafikan wang adalah perlu untuk meneruskan kehidupan, namun berapa banyakkah wang kita perlu untuk memuaskan keperluan kita. Suatu hari nanti, saya percaya, jika gaji mereka mencecah puluhan ribu ringgit pun, wang sebanyak itu masih lagi tidak mencukupi untuk mereka. Ia adalah hakikat.
Pernah diceritakan oleh seorang sahabat saya bahawa pakciknya yang berjawatan CEO di sebuah syarikat automotif terkenal di Malaysia, hairan dengan keadaan kehidupan seseorang yang bergaji RM2,000 sebulan, kerana beliau sendiri tidak cukup dengan gaji lebih RM40,000 sebulan!
Semasa saya mula bekerja dahulu, jawatan pertama saya adalah Sales Engineer di Kuala Lumpur. Gaji pada masa itu, RM2,000. Selepas menamatkan pengajian, dalam suasana ekonomi yang sedang pulih akibat gawat, maka apa yang penting bagi saya adalah pekerjaan. Kuantum gaji tidak menjadi keutamaan saya.
Sembilan bulan di Kuala Lumpur, saya terpaksa meletak jawatan kerana ingin pulang ke Kota Bharu untuk menemani arwah ibu yang sedang sakit dan tiada teman di rumah. Sekali lagi saya mencari pekerjaan. Pekerjaan kedua saya adalah sebagai guru sambilan di SM Kota Bharu. Guru sandaran kepada guru yang bersalin. Gaji dalam RM45 sehari. Sekali lagi saya bekerja kerana terpaksa bekerja, bukan kerana gaji, tetapi kerana mahukan pekerjaan.
Setelah tamat tempoh sebagai guru sandaran, saya mencari pekerjaan lain. Di Kelantan pada masa itu, sekitar tahun 2001, pekerjaan memang susah didapati. Kalau mahukan gaji yang lumayan, Kilang Rhom Wako menjadi pilihan. Saya cuba juga, namun gagal. Kawan-kawan yang bekerja di Rhom Wako sebagai jurutera, pendapatan mereka agak lumayan. Boleh mencecah RM6,000.
Nasib saya baik kerana ditawarkan sebagai jurutera di sebuah firma perunding di Kota Bharu. Semasa temuduga, saya dimaklumkan, gaji permulaan saya adalah RM1,000. Pada waktu tersebut, maka sentaplah seorang graduan University of Sheffield, England. Namun, bagi menjadikan keadaan itu rasional, saya menganggap RM1,000 adalah upah saya sebagai seorang yang ingin belajar bekerja. Kalau saya boleh belajar selama 16 tahun untuk segulung ijazah (darjah 1 hingga final year degree), apa salahnya saya teruskan 5 tahun lagi untuk belajar bekerja.
Mula bekerja, saya tiada motosikal. Kereta pula adalah kegunaan arwah ibu untuk ke pejabatnya. Arwah bekerja sebagai kerani pejabat pos di Kota Bharu. Masih lagi saya ingat no platnya, KG4538. Honda Civic tahun 1970an. Jadi saya ambil keputusan untuk mengayuh basikal ke pejabat. 15 minit dari Telipot ke Paya Bemban. Biasanya kena ada baju spare, sebab berpeluh.
Bermula saat itu saya benar-benar bekerja dan belajar menjadi seorang jurutera, dalam konteks saya sendiri. Saya lakukan semua jenis skop kerja di firma tersebut. Daripada pencuci tandas, kerani, despatch, pelukis pelan dan kadang-kadang menyamar sebagai bos syarikat. Saya takkan lupakan pada suatu ketika, saya membawa bos saya berjumpa seorang klien dan klien tersebut menegur bos saya sebagai jurutera yang bekerja dengan saya. Mungkin pada masa itu, tubuh saya lebih besar daripada bos saya.
Setelah 5 tahun bekerja, saya dapat rasakan saya telah faham apakah tugas seorang jurutera perunding. Selok belok menyelesaikan masalah di hujung jari saya. Namun, mungkin akibat saya telah menyediakan minda saya untuk belajar, walaupun saya telah menjadi nakhoda dalam syarikat, namun saya rasa saya perlu mendapatkan kepercayaan pasaran. Saya terus bekerja sehinggalah tahun kelapan yang mana saya rasakan bahawa dengan hanya klien perlu mengungkapkan beberapa patah kata saja, saya sudah boleh agak apa masalah yang dihadapinya dan kaedah menyelesaikannya.
Sehingga tahun kelapan, saya masih lagi tidak menghiraukan kuantum gaji saya. Pada masa ini, wang yang saya bawa pulang kurang daripada RM2,000. Wang adalah satu ilusi dan kecukupannya bergantung kepada rahmat dan keberkatan Ilahi. Ayat ini saya pegang untuk menyedapkan hati. Bagi saya, pada masa itu, ilmu dan kebolehan saya tiada nilai sebandingnya.
Tahun ke sembilan, saya menghadiri temuduga keempat dalam hidup saya. Tetapi kali ini untuk mendapatkan status Jurutera Profesional. Setelah lulus, bulan Ogos 2010 adalah bulan terakhir saya ambil gaji. Gaji terakhir saya adalah RM2,400. Bulan September 2010, saya menuai hasil perniagaan saya sebanyak RM9,000. Bulan seterusnya RM15,000. Bulan seterusnya RM20,000. Bulan seterusnya...
Sekarang setelah 5 tahun berniaga, saya mempunyai beberapa syarikat dan mengetuai pertubuhan kebajikan yang saya reka sendiri.
Berapa wang yang saya ada sekarang?
Seperti saya katakan tadi, wang adalah suatu ilusi. Apa saja amaunnya, sama ada RM1 atau RM1,000,000 ia tidak penting kepada saya kerana wang tidak pernah menjadi matlamat kepada saya sejak dari mula.

No comments:

Post a Comment

https://youtu.be/4SylgWNoVZo

https://youtu.be/4SylgWNoVZo