Sunday, 26 June 2016

Teknik simpan duit makan gaji


Salah satu kriteria mereka yang kaya harta adalah tabiat menyimpan yang konsisten. Maka kita perlu ada strategi untuk membina tabiat menyimpan yang konsisten ini.
Berikut adalah 3 cara yang berkesan untuk kita belajar menyimpan dengan konsisten:
1) Menyimpan Sebelum Belanja dengan Fungsi "Standing Instruction" Menggunakan Bank Online 2) Menyimpan Semasa Belanja dengan teknik Sayang Hijau 3) Menyimpan Selepas Belanja dengan teknik Cukai Seringgit
Itu adalah 3 cara yang boleh kita gunakan. Tiga cara ini sangat bagus jika diamalkan serentak. Jika tidak, kita boleh bermula dengan mana-mana cara yang dirasakan sesuai.
Berikut adalah penerangan ringkas untuk setiap teknikt tersebut:

Teknik Standing Instruction

Teknik ini memerlukan dua syarat iaitu 1) kita sudah ada akaun Tabung Haji dan 2) Kita ada bank online untuk akaun gaji kita
Teknik ini sangat mudah. "Standing Instruction" adalah jargon bank yang memberi maksud "Arahan Automatik". Ia membolehkan kita menetapkan bank untuk masukkan jumlah RM tertentu pada tarikh tertentu ke akaun tertentu.
Dengan fungsi itu, kita boleh tetapkan yang bank online kita akan automatik transfer-kan RM300 ke akaun tabung haji setiap 1 haribulan contohnya. Itu kalau gaji kita masuk pada hujung bulan sebagai contoh.
Maka dengan ini, kita boleh berbelanja habis semua baki akaun dalam bank tanpa risau setiap masa untuk berjimat-jimat demi simpanan.

Teknik Sayang Hijau

Teknik ini sudah diketahui ramai. Secara ringkasnya, kita PERLU simpan semua not RM 5 (yang berwarna hijau) yang kita dapat sebagai baki bayaran di kedai.
Not RM 5 tersebut tidak boleh dibelanjakan.
Simpan helaian RM 5 dalam satu bekas yang tidak mungkin dibuka (botol air gas contohnya).
Apabila sudah penuh, seluruh jumlah si hijau tadi harus dimasukkan dalam akaun simpanan Tabung Haji kita.
Jika mahu lebih mudah, pastikan setiap not Rm 5 yang kita terima kita tidak masukkan dalam dompet, tetapi di simpan dalam poket seluar/beg sehingga kita sampai ke rumah untuk ditabungkan.
Bagaimana jika kita sudah tiada cash lain? Pergi ATM dan keluarkan duit baru. Apa susah.

Teknik Cukai Seringgit

Teknik ini memerlukan disiplin yang tinggi. Namun, dengan nilai RM 1, ia menjadi lebih mudah.
Tekniknya adalah seperti berikut: setiap kali setelah kita membayar sesuatu di kedai, kita perlu asingkan RM 1 dan letak dalam poket bersama-sama dengan si hijau dalam teknik sebelum ini.
Ia ibarat cukai RM 1 untuk setiap transaksi jual beli kita.
Berbeza dengan GST, cukai RM 1 ini akan dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji kita. Bukan dalam akaun kerajaan mahupun akaun pekedai.
Setiap malam, masukkan not RM 1 dan not RM 5 yang telah kita kumpul sepanjang hari ke dalam tabung. Apabila tabung penuh dan tidak boleh disumbat lagi, masukkan kesemuanya dalam akaun Tabung Haji kita.

Semua teknik di atas memang seronok dibaca dan dihadam, namun sangat pedih bila mahu amalkan buat pertama kali. Tetapi ia menjadi lebih seronok apabila hujung bulan kita lihat akaun simpanan Tabung Haji kita semakin meningkat.
Yang paling seronok, apabila sudah setahun kita amalkan 3 teknik di atas, kita sudah cukup modal untuk belajar melabur pula. Kita sudah mula mengorak langkah dari kotak Employee ke kotak Investor.
ps: Minat mahu mula menyimpan? Komen "Jom Simpan" sekarang:

No comments:

Post a Comment

https://youtu.be/4SylgWNoVZo

https://youtu.be/4SylgWNoVZo