Apa hala tuju ekonomi Malaysia 2016? 8 ramalan anda perlu tahu
1. Pertumbuhan ekonomi negara mungkin berkurangan
Berbanding pertumbuhan ekonomi 4.8% tahun lalu, OCBC Bank mengunjur negara akan bertumbuh 4.7% bagi 2016.
Ketua Pakar Ekonomi OCBC Bank Selena Ling berkata, Malaysia dijangka terus terpengaruh dengan faktor luaran seperti tahun lalu.
"Kami menjangka cerita sama untuk Malaysia tahun ini, ekonomi akan perlahan disebabkan kelemahan harga minyak, ketidaktentuan ekonomi dunia dan kelembapan ekonomi China," katanya.
2. Ringgit mungkin cecah RM4.59 kepada dolar hujung tahun
OCBC menjangka ringgit mungkin cecah paras RM4.37 kepada dolar Amerika pada Mac 2016, diikuti RM4.44 pada Jun, RM4.51 September dan RM4.59 menjelang Disember.
Menjelang Disember, ia turut menjangka ringgit akan diniaga pada RM4.77 berbanding Euro, RM3.79 berbanding Yen dan RM3.12 berbanding dolar Australia.
3. Bagaimanapun, harga minyak mungkin naik semula
OCBC menjangka harga minyak mentah akan meningkat sedikit kepada US$35 suku pertama tahun ini, diikuti kepada US$40, US$45 dan US$50 setiap suku sehingga suku keempat 2016.
OCBC meletakkan unjuran harga tersebut bagi kedua-dua penanda aras Brent dan WTI.
4. Kos sara hidup mungkin terus meningkat
Inflasi dan kos sara hidup dijangka akan terus meningkat.
Selain cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan kadar tol, kelemahan ringgit juga dijangka akan meningkatkan inflasi ke atas barangan yang diimport.
"Perniagaan yang meneroka pasaran baru di negara luar juga akan terdedah kepada turun naik ringgit dan ini akan menghapuskan banyak marjin keuntungan mereka," kata Ling.
5. Pembuangan pekerja sektor minyak dan gas tidak akan bertambah buruk
"Saya menjangka ia tidak akan mencapai tahap sewaktu krisis kewangan Asia Tenggara pada 1997 dan 1998.
"Di seluruh Asia, sektor eksport dan minyak dan gas diganti oleh perkhidmatan dan penggunaan domestik sebagai enjin pertumbuhan. Jadi saya ramal akan ada penyerapan buruh dari sektor seperti minyak dan gas kepada sektor-sektor baru ini," kata Ling.
6. Defisit bajet mungkin lebih tinggi dari 3.1%
Defisit bajet berlaku apabila kerajaan berbelanja lebih dari pendapatannya.
Tahap defisit bajet yang sihat bagi negara membangun adalah 5%, bermakna perbelanjaan kerajaan melebihi pendapatan sebanyak 5%.
Malaysia berharap untuk mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 3.1% bagi 2016.
"Defisit yang lebih tinggi juga pada masa yang sama bermakna, akan ada pemotongan perbelanjaan," kata Ling.
7. Pinjaman anda diproses seperti biasa oleh OCBC
Ketua Perbendaharaan Global OCBC Malaysia Ng Seow Pang menegaskan, OCBC akan terus mematuhi piawaian pelulusan pinjamannya seperti biasa.
"Ia bergantung kepada sama ada orang itu layak untuk jenis kemudahan pinjaman itu atau tidak – tidak ada sebarang keputusan yang dibuat terlebih dahulu sama ada mana-mana industri tertentu lebih layak atau tidak," katanya.
8. Tidak mustahil Malaysia akan bajet sekali lagi selepas ini
"Ia sentiasa bergantung kepada pergerakan harga minyak, kita tidak tahu di mana benar-benar paras terendah harga minyak akan jatuh.
"Sewaktu minyak sekitar US$100 setong dahulu, kita jangka paras paling rendahnya adalah US$60 atau US$70," kata Ling.
"Lihat di mana kita sekarang."
No comments:
Post a Comment